Jodoh: Mencari atau Menunggu.

Saya tertarik dengan satu soalan yang dibawakan oleh seorang [I]user[/I] komuniti.iluvislam berkenaan jodoh.

Persoalannya, [I]"Betulkah kita hanya menanti si bulan (si dia) yang bernama jodoh? Usaha tidak perlu ke?"[/I]

Pada mulanya saya tersenyum.

Yelah, lagi-lagi jodoh. Lagi-lagi isu jodoh.

Namun, setelah saya fikir-fikirkan kembali. Soal jodoh ini bukan suatu soal yang boleh diremeh-remehkan sebenarnya. Saya kira, hampir setiap dari manusia itu akan melalui satu tahap di mana mereka akan mula memikirkan tentang persoalan jodoh.

Justeru, silap dalam kefahaman terhadapnya mampu memberi kesan negatif yang cukup besar terhadap masyarakat. Gejala sosial yang menular dengan sungguh dahsyatnya pada masyarakat kita kini juga tidak dapat tidak, salah satu faktornya adalah kesilapan dalam memandang isu jodoh ini.

Jadi akhirnya, saya memilih untuk menulis tentang isu [I]evergreen [/I]itu di sini.

[B]Ramai yang keliru[/B]

Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh.

Sejak di bangku sekolah lagi kita dapat melihat remaja-remaja kita ramai yang sudah mula 'mencari' jodoh mereka. Untuk mencari 'kecocokan', mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu 'jodohku'?

Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam 'berusaha' untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms, [I]chatting[/I], e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala 'couple'.

Mereka hangat bercinta.

Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata ramai yang akhirnya '[I]clash[/I]' ataupun istilah lainnya '[I]break-up[/I]'. Yang berkekalan mungkin ada, namun bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap jodoh mereka tidak diketemukan.

Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa.

Namun, mengapa semua ini berlaku?

Usaha telah kita letakkan, namun mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita?

Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha?

[B]Jodoh – suatu ketentuan?[/B]

Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini yakni perihal jodoh.

Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?

"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - \[Surah Ath-Thalaq, 65: 3]

Benar. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah.

Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha' dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna.

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya),

Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, "Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman."

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir(Qadha' dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk -semuanya dari Allah jua."

Lelaki itu berkata: "Tuan benar."

\[HR. Muslim]

Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya.

Berbalik pada persoalan awal kita, maka perlukah kita berusaha untuknya?

[B]Usaha yang sebenarnya[/B]

Sudah menjadi sunnatullah (hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil 'usaha'.

Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari?

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal.

Dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu.

Jika dalam masa terdekat kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu.

Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun.

Ya, tidak perlu. Mengapa?

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya?

Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan 'pasangannya itu', dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama.

Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah (halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan?

Tiada.

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan.

Lalu, akhirnya kita dapat melihat ramai di antara mereka yang ber'[I]couple[/I]' dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka.

Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat.

"Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia." - \[HR Bukhari dan Muslim]

Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi.

Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na'udzubillahimindzalik.

Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah?

Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.

[B]Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha 'mencari jodoh'. [/B]Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak.

Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala?

[B]Jika sudah mampu[/B]

Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula 'berusaha untuk mencari' bakal pasangan mereka. Dan semestinya dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga.

Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah. Baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat.

Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah.

[B]Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri[/B]

Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa?

Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la.

Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'.

Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan?

Iya. [B]Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga.[/B]

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26,

"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." - \[Surah An-Nur, 24: 26]

Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. [B]Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya.[/B]

Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar.

Mungkin... pasangan kita itu 'tampak' soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Jahat dapat jahat.

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik dan sentiasa menjaga diri.

Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan.

Mengapa? Kerana membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tidak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah.

Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi.

Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga.

Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah (didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian.

[B]Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga.[/B]

Latihan-latihan dan persiapan diri ini... mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan?

Sudah tentu tidak.

Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga.

[B]Jika redha Allah yang dicari...[/B]

Sudah nampak apa yang harus dilakukan?

Saya jadi teringat akan kisah saya masa sekolah dahulu. Melihat rakan-rakan ramai yang ber'[I]couple[/I]', perasaan takut itu muncul, dikhuatiri nanti semua habis dikebas orang (haha.. ye ke?).

Oleh sebab itu saya juga tidak terlepas dalam usaha mencari jodoh ini, kononnya. Dan diringkaskan cerita, di waktu saya hampir saja mahu mengambil tindakan itu (ber'[I]couple[/I]'), saya diberikanNya petunjuk (dalam bentuk ilmu dan kefahaman) bahawa rupanya pemahaman saya selama ini silap. Alhamdulillah.

Jika mahu diikutkan, tatkala petunjuk itu sampai, boleh sahaja saya untuk menidakkannya, dengan tetap meneruskan perancangan dan 'kehendak' saya. Namun, saya sedar, bukankah tindakan saya itu hanya suatu tindakan yang bodoh?

Allah sudah pun memberi petunjukNya, dan ditakuti, selepas ini, Dia tidak lagi ingin memberi petunjuk kepada saya, atas sebab saya tidak pandai menghargai petunjuk yang telah Dia berikan. Maka, bukankah pada hakikatnya saya hanya menzalimi diri saya sendiri?

Justeru, suka saya katakan, [B]jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah[/B]... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan.

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Benarkah? Ya, kerana kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan?

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga.

Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta'ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih 'beriman' (percaya) kepada usaha kita, berbanding iman (kepercayaan) kita terhadap Qadha' dan Qadar yang ditentukan Allah.

Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha.

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan?

Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga.

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur'an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita.

Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya, demi kebaikan kita juga.

Wahai hati-hati yang suci. . .

Katakanlah,

'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?'

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - \[Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3]